Pages

Showing posts with label cita - cita. Show all posts
Showing posts with label cita - cita. Show all posts

Sunday, November 30, 2008

Cita - Cita

Assalamualaikum wbt.

Aku selalu terfikir (rupanya banyak benar aku fikir! Hadoii..). Kalau aku tak meneruskan hidup aku sebagai pelajar perubatan, agak - agak apa yang aku akan ambil untuk kerjaya aku pada masa akan datang? Hurm.. Ni aku nak bawa kamu ke zaman kanak - kanak aku.

Dulu bila masuk sekolah darjah satu, cikgu aku ada tanya : Nanti dah besar, kamu nak jadi apa? Atau kata lainnya apa cita - cita kamu? Aku jawab : Saya nak jadi macam cikgu. Saya nak jadi cikgu. Lepas tu aku ditanya semula : Kenapa kamu nak jadi cikgu? Tahu apa aku jawab? Ini : Sebab masa cuti sekolah, cikgu pun ikut cuti sekali. Jadi banyaklah nanti cuti cikgu. Sabtu Ahad cuti, masa cuti sekolah pun cuti. Seronok! Ha.. Itulah jawapan aku masa kecil - kecil dulu.

Tapi bila aku sudah masuk darjah 5 atau darjah 6, aku masih dengan 'cita - cita' aku yang satu ini. Tapi sebenarnya aku masih tidak pasti lagi waktu itu apa cita - cita sebenar aku. Sampailah aku masuk sekolah menengah. Aku main belajar saja. Tapi semasa tingkatan 1, aku perasan aku menunjukkan minat terhadap subjek Biologi. Tak tahu siapa yang bagi perangsang, tak tahu dari mana datangnya keinginan untuk mempelajari Biologi. Aku pernah membelek buku rujukan Biologi terbitan Sasbadi Publication milik akak dorm aku. Dan aku dapati ia lebih kurang seperti Sains. Dari situlah menyebabkan aku terus saja mengambil jurusan Sains Tulen sewaktu aku menyambung tingkatan 4 di Sambestari dulu. Masa itu, aku memang tak fikir cabang lain. Yang aku fikir aku mahu ambil Biologi tanpa fikirkan tentang cita - cita atau kerjaya masa hadapan.

Dan selepas mendapat keputusan SPM, aku mengambil saja tawaran yang datang pada aku. Apa yang aku perasan, semua tawaran itu menjurus ke arah Perubatan, walhal aku sendiri tak pernah terlintas dalam fikiran ingin menjadi seorang pelajar jurusan kedoktoran. Jauh sekali terfikir untuk bertugas sebagai doktor setelah tamat belajar. Pernah dulu aku bertanya pada Kak Idah (kakak aku yang kini Pakar Bius di Hosp Seremban), kenapa dia belajar perubatan? Dan tahu apa dia jawab? Akak kata : Akak bukan nak ambil perubatan pun dulu. Akak sebenarnya nak sangat ambil Mathematics. Masa kat USM dulu akak ambil Maths tapi dah dapat tawaran ke UK, akak terima saja.

Hurm.. Nampaknya ini ada unsur genetik. Hehe.. Akak borek, adik pun borek juga! Huhu.. Tapi di sini, bila aku tanya rata - rata kawan aku, diorang memang berniat mahu menjadi doktor. Dan bagi aku, aku sangat respek kepada mereka ini. Bukan senang mahu jadi doktor. Perlukan komitmen yang tinggi, kesungguhan yang berterusan dan keazaman yang kuat. Mereka tahu tentang ini tapi mereka masih mahu menjadi seorang doktor. Bagus sangat! Memenuhi tuntutan fardhu kifayah, bukan semua mampu lakukan. Tapi mereka dengan berbesar hati mahu lakukannya.

Andai aku tidak berada di sini, mungkin aku teruskan cita - cita aku masa aku darjah 1 dulu. Menjadi seorang guru. Bukan kerana boleh dapat banyak cuti, tapi sebab aku mahu masyarakat aku yang sama agama dan satu akidah, berjaya dalam hidup. Ibarat kata orang, mendidik anak bangsa. Ha, macam itulah lebih kurang. Hurm.. Tapi kalau nak jadi cikgu, nak jadi cikgu apa ye? Nak jadi cikgu tadika la! Senang sikit nak ajar budak - budak. Sebab budak - budak tak pandai menipu, dengar cakap cikgu, kalau diajar senang faham. Tapi masalahnya sekarang, aku kurang pandai sikit bergaul dengan budak - budak. Hurm. Jadi pengasuh budak la! Budak yang kecil - kecil sikit. Kenapa? Sebab aku jenis suka mendukung budak. Hihi..

Sekarang ini, kebanyakan kawan - kawan aku sudah bergraduasi. Ada yang berniat untuk menyambung pengajian. Teruskan. Teruskan. Aku galakkan kamu teruskan jejaki cita - cita kamu. Cari cita - cita kamu. Cari arah hidup kamu. Tentukan hala tuju kamu. Dan aku, aku teruskan jalan aku. Aku perlu habiskan perjuangan yang aku sendiri telah mulakan. Aku perlukan keazaman. Aku perlukan dorongan. Aku kena habiskan ini. Dan aku sedar. Ya! Cita- cita aku sekarang adalah menjadi seorang DOKTOR. Seorang doktor yang mendokong syariatNya. Amin.