Pages

Tuesday, March 31, 2009

31 Mac 2009

Assalamualaikum wbt.

Hari ini hari terakhir untuk cycle Neurology, Obstetrics and Dermatology. Lepas ini tak payah nak ke hospital Obstetrics yang jauh nun di Kashirskaya tu. Kalau selalu kena bangun dan bertolak awal pagi, berebut - rebut dan meredah mamat, minah, datuk - datuk dan nenek - nenek rusia pagi - pagi tu. Kalau terlambat sikit, dah kena berkejar. Tapi alhamdulillah setakat ini, tak pernah lagi terlambat ke kelas.

Hari ini ke kelas praktikal Obstetrics di Profsoyuznaya. Dalam masa lebih kurang 2 jam, tercabar juga pengetahuan tentang Obstetrics ni. Alhamdulillah semuanya ok saja. Seronok belajar.

Memang setiap pagi, aku akan memulakan perjalanan dengan membaca doa dan berniat, tawakal kepada Allah. Tapi hari ini saja, sudah dua kali aku melintas jalan tanpa tengok kiri kanan. Main melintas saja. Hampir - hampir (tapi tak hampir sangat la) kena langgar. Sudahlah dua - dua kali tu, dua - dua kenderaan besar gabak (bas dan lori). Alhamdulillah tak ada apa - apa yang buruk berlaku. Tapi kena hon je la. Hehe.. Mana taknya, jalan nak cepat je. Tengok jalan tak sibuk sangat, main redah je jalan tu. Cik Wanie.. Cik Wanie.. Lain kali, melintas jalan tu tengok kiri kanan. Jangan jadi macam ayam. Hehe

Kalau kita sentiasa ingat pada Allah, insyaAllah Allah akan selalu jaga kita. Moral cerita ini : Baca doa sebelum mulakan perjalanan dan lihat kiri kanan sebelum melintas jalan!

**Selamat Hari Lahir untuk 2 perkara : 1- Untuk Hazmilia Azalan (teman sebilik aku). 2- Untuk blog ini (sudah 2 tahun). Big Smile For Today.

Monday, March 30, 2009

Makan

Assalamualaikum wbt.

Sekarang ini baru selesai masak. Ayam masak lemak cili api yang aku tak tahu sepedas mana aku masak. Sudahlah tak tahan pedas, lagi masak pedas - pedas. Apa nak jadi dengan aku ni.

Sebenarnya aku masak itu pun sebab hari tu, hari lahir kawan aku. Tak tahu nak bagi apa, jadi aku tolong la masakkan berdasarkan permintaan. Masak ringkas saja. Dan tak ambil masa lama sangat pun.

Kenapa aku tak tahu pedas mana? Sebab hari ini puasa. Minta tolong KS rasakan. Tadi sebelum minta KS rasa, main tabur je garam dengan gula ikut sesedap hati. Nasib baik ok je.

Balik kelas tadi, telefon Emak. Lama dah tak telefon Malaysia. Macam - macam la yang ditanya. Jawab dengan jujur je la. Takkan nak menipu pula kan?

**Malam ni boleh makan banyak - banyak. Seronoknya. Im Loving It! Saya suka makan. =D

Sunday, March 29, 2009

Earth Hour

Assalamualaikum wbt.

Di saat aku tulis entri ini, aku baru saja selesai menulis satu laporan (case history) dan Day Light Saving baru saja bermula. Kiranya selepas ini, beza Moscow - Malaysia hanya 4 jam. Esok nampak gayanya kena bangun awal la.

Dan pada pukul 8.30 malam semalam, kami satu bilik menyertai kempen Satu Jam Untuk Bumi (Earth Hour). Macam - macam gaya kami. Mulanya aku mahu buat air. Baru saja berapa minit bergelap, susu manis yang aku nak campurkan dalam cawan sudah meleleh di dinding cawan. Tak masuk dalam cawan pun. Mana taknya, hanya berbekalkan lampu suluh kecil. Tapi tak apa. Setidak - tidaknya ada juga merasa bagaimana agaknya tok nenek kita dulu hidup bergelap dan berlilin saja kan?


Makan dalam gelap. Berborak dalam gelap. Bergambar dalam gelap.




**Kami memang tak ada kerja nak buat dalam gelap. Beginilah akhirnya.
**Tak telefon rumah lagi minggu ni. Tak menyempat pula.
**Everyday is my Day. But today is Earth Hour.

Friday, March 27, 2009

Kedai Tutup

Assalamualaikum wbt.

Hari ini hari Jumaat. Memang hari ni giliran aku masak. Ingat mahu masak ayam lemak cili api. Dan aku bercadang, sekembali dari hospital Dermatology, aku ingin singgah kedai halal kegemaran seluruh warga Sportiv tu untuk mencari ayam. Sudahnya tutup pula. Jadi rancangan makan ayam lemak cili api itu pun terbantut.

Tukar rancangan pula. Nak sediakan ikan masak kicap. Tapi ikannya kena beli. Balik dari hospital Neurology, singgah sekali lagi ke pasar. Niat ingin mencari ikan. Punya pusing satu pasar yang ada 3 kedai ikan, ketiga - tiganya tutup. Hurmm.. Banyak betul kedai tutup hari Jumaat kali ini. Rancangan untuk makan ikan kicap tak jadi.

Sudahnya apa yang aku masak hari ini untuk makan malam? Aku beli udang. Udang masak lemak cili api. Sebenarnya aku tak pernah masak udang lemak cili api pun. Tapi dan tak ada lauk nak masak, aku pun layan sajalah. Asalkan boleh masuk mulut dan kami tak kebulur, itu sudah memadai.

Moh makan nasi. Nasi panas dengan Udang masak lemak cili api beserta sayur tumis carrot dan kobis! Sangat simple tapi mengenyangkan.

Tipu Sunat

Assalamualaikum wbt.

Kenapa tajuk entri ini begini? Nak tahu? Jom.

Dulu masa aku sekolah rendah, aku selalu pergi sekolah naik van sekolah yang oren tu. Semasa darjah 2, makcik bawa van itu meninggal dunia. Orang kata arwah meninggal ketika tidur. Semasa hari itu, Abah sibuk cari siapa yang boleh tolong dia hantarkan anak - anak ke sekolah. Dan akhirnya ada seorang makcik yang kami adik - beradik panggil Wak Tiah. Kebetulan anaknya satu sekolah dengan kami. Alang - alang, kami tumpang keretanya dengan berbayar setiap bulan. Kira bayar duit minyak la.

Tapi, semasa darjah 3, Abah sendiri yang menghantar kami ke sekolah. Pagi - pagi, biasanya kami akan ikut Abah hantar Emak ke stesen komuter Klang dan terus hantar kami ke sekolah. Sebelum sampai ke sekolah, biasanya Abah akan pergi belikan sarapan untuk kami adik - beradik supaya kami tak berlapar bila pergi sekolah. Menu sarapan selalunya roti canai campur beserta teh tarik. Kadang - kadang, nasi lemak. Tengoklah apa yang ada hari itu.

Tapi kalau kami adik - beradik terbangun lewat, Abah akan hantar Emak dulu, kemudian beli sarapan dan baru pulang ke rumah untuk ambil kami adik beradik yang masih bersekolah ni. Masa aku darjah 3 tu, kakak aku Meen darjah 6. Kiranya masa itu, Meen la yang paling besar. Dan dia lah yang menguruskan kami adik beradik bersiap ke sekolah sementara Abah hantar Emak. Kalau kami terlambat, nanti dia yang kena marah dengan Abah. Tambah - tambah bukan aku dengan Mia je, seorang lagi adik lelaki aku yang liat benar nak bangun pagi. Memang kalau tak ikut Abah hantar Emak, pagi - pagi pasti Meen akan membebel suruh kami bersiap cepat supaya Abah tak marah bila dia balik nanti.

Bila aku naik darjah 4, Meen dah masuk asrama. Dan adik aku yang bongsu tu masuk tadika Islam yang uniformnya macam budak sekolah agama (berbaju melayu putih dan bersamping). Kiranya aku la yang ambil tugas Meen tu. Tapi bila aku kejut budak - budak tu, bukannya makan saman pun. Sebab itu, masa tu, selalunya akan ikut Abah hantar Emak sekali. Tapi ada satu hari ni, memang kami tak sempat pun nak ikut Abah. Jadi Abah pesan kat aku supaya kejutkan dan siapkan adik - adik sekolah. Biasanya kalau baju sekolah budak - budak tu belum bergosok, aku akan tolong gosokkan pagi -pagi tu. Itu untuk adik aku yang lelaki je la. Yang perempuan dah pandai gosok baju dah. =P

Jadi hari tu, nak dijadikan cerita, adik lelaki aku dah bangun dah. Boleh dia tidur balik. Tapi aku tak perasan. Bila Abah dah sampai rumah, tengok tak ada siapa yang siap kecuali aku dan Mia. Aku tunggu Abah kat pintu rumah siap dengan beg sekolah. Masa tu baru aku perasan yang adik aku yang lelaki tu tak bangun. Abah tanya : Adik - adik dah siap? Demi untuk mengelakkan Abah marah pagi - pagi tu, aku pun menjawab : Kejap lagi siap la tu (padahal ni tipu. Hanya untuk melepaskan diri. Tak apa, tipu sunat. Inilah kesnya tipu sunat. Nakal kan aku nih? hehe..). Lepas tu, aku dengan tenangnya masuk balik rumah dan berlari kejutkan adik lelaki aku (Mamat) dan suruh dia cepat siap dan cakap yang Abah dah balik. Kelam kabut dia siap. Hahaha..

Nasib baik hari itu Abah tak marah. Kalau tidak, habislah kami adik - beradik tak pergi sekolah hari itu.

Aku sangat hormat pada Abah. Masa Emak pergi kerja cari nafkah, Abah yang mengambil alih tugas Emak. Memasak, membasuh kain, sediakan pengangkutan untuk anak - anak ke sekolah. Susah nak dapat lelaki macam tu zaman sekarang ni kan? Ada yang sanggup begitu?

Wednesday, March 25, 2009

Jangkitan

Assalamualaikum wbt.

Terasa lama aku ketandusan idea untuk menulis. Bulan Mac pun dah nak habis. Tapi salji masih turun dengan lebat. Tadi semasa pulang dari kelas, aku terpaksa menahan kesakitan sebab salji yang kecil, tajam dan lebat itu menyerang muka. Hendak berjalan cepat, ia turun dengan sangat lebat menjadikan kaki aku sangat lambat bergerak.

Hari ini tajuk lecture adalah jangkitan dalam sistem saraf (Infection of Nervous System). Makin belajar, makin takut pula aku dengan makhluk Allah yang sekecil - kecil ini. Walaupun kecil, tapi impaknya besar kepada kesihatan manusia. Tak pandai jaga diri, senang benar terkena jangkitan, walaupun kadang - kadang kita tak berbuat apa pun.

Kalau jangkitan itu berlaku disebabkan mikroorganisma, bolehlah kita cari penawarnya dengan izin Allah. Tapi kalau yang menjangkiti kita, terutama hati kita adalah benda yang kita tak nampak, contohnya dosa kecil, kalau tak diubati, makin lama makin membiak. Dan bukan senang mahu mengubati penyakit hati ini.

Sebab susah nak diubatilah, kita kena kurang - kurangkan buat dosa kecil. Aku pun buat juga dosa itu. Kadang - kadang bukan sedar pun kita buat salah, lagi - lagi kalau benda itu sudah menjadi kebiasaan kita, lagilah susah nak betulkan. Antara kebiasaan dan syariat, manusia lebih cenderung untuk memilih kebiasaan dari menegakkan syariat.

Dengan segala nikmat pancaindera, tangan dan kaki yang Allah kasi inilah kita buat segala kesilapan itu. Dengan tangan, kadang - kadang kita membuat kerosakan. Dengan kaki, kadang - kadang kita melangkah ke tempat yang tak sepatutnya. Dengan mulut, kita cakap benda bukan - bukan sampai kadang kala menyakitkan hati orang lain. Dengan mata, kita tengok benda - benda yang tak berfaedah. Kebanyakan perkara salah yang kita buat itu, kita buat dengan nikmat yang Allah beri. Kiranya kita ini tak tahu malulah. Allah dah bagi nikmat, kita gunakannya untuk buat dosa pada Allah.

Kadang - kadang aku terfikir, dalam satu kes ini, kita saja yang boleh bersabar dengan orang. Tapi sejauh mana pula orang boleh bersabar dengan kita? Asyik kita saja yang kena jaga hati semua orang. Hurmm.. Cara paling baik adalah bersabarlah. Allah akan bayar balik sabar kita itu. Kalau orang itu tak layan kita sekalipun, kalau kita ada buat salah dengan orang, kita dengan sedar dirinya minta maaf pada orang itu. Kalau kita rasa kita tak ada salah pun pada orang itu, tak mengapalah. Kita bagi saja sedikit masa pada orang itu supaya dia calm down.

Jaga hati ini susah. Lagi - lagi kalau jaga hati dari sebarang jangkitan. Itu lagi susah. Tapi kalau kita berjaya menjaga hati kita, insyaAllah kita akan sihat saja selalu. Selalulah pujuk hati supaya tidak terjangkit. Pujuklah minda supaya tidak terpengaruh. Pujuklah diri supaya sentiasa bersabar.

**Kerana seekor kuman, satu badan boleh binasa. Kerana sekecil dosa, rosak seketul daging. Dan seperti semua tahu, rosak daging ini, maka binasa jugalah satu jasad. Daging ini adalah ... ? (isi sendiri)
**Di saat - saat begini, apa yang aku fikirkan adalah diri aku. Pentingkan diri sendirikah aku jika begitu?

Saturday, March 21, 2009

Aktiviti petang Sabtu

Assalamualaikum wbt.

Dua jam yang lepas, aku baru saja sampai rumah, pulang dari Kedutaan Malaysia, menghadiri satu program yang dinamakan Fiqh Perubatan. Walaupun hanya membayar 50 ruble (bersamaan RM 5 lebih), pengisian yang aku dapat dalam program itu lebih daripada apa yang aku bayar. Sangat penuh dengan segala persoalan dan jawapan. Penuh dengan sirah dan tauladan. Penuh dengan dalil dan hukum.

Pada aku, aku suka begini. Di samping mendalami ilmu, kita masih menjaga syariat. Program sebegini sepatutnya dihadiri oleh semua orang. Semua dari kita kena tahu benda ini. Dalam setiap apa yang kita buat, kita kenalah faham kenapa kita buat benda tu dan kita buat untuk siapa.

Bila pulang dari program itu, aku ada satu azam baru. Aku kena belajar betul - betul. Bagi yang pergi program itu, kamu tentu faham kenapa aku tanam azam ini. Kerana Fardu Ain Kifaii. Itu buat aku dah tak mahu main - main. Rupanya bukan mudah apabila kita sudah melaksanakan tuntutan fardu kifayah. Bila sudah ceburinya, kena buat sehabis baik.

Dan azam itu bukan setakat satu. Ada lagi satu. Ingin jadi baik. 5 Syarat untuk jadi baik. 1. Niat 2. Tekad 3. Mengurangkan pilihan 4. Berhijrah (duduk di kelompok suasana yang baik) 5. Berdoa. 5 perkara ini kena dilakukan selari. Tanpa kurang satu. Dan akhirnya kita kena berdoa. Selalu berdoa.

Daripada perbincangan tentang fiqh perubatan ini, satu kesimpulan yang menarik telah tersimpul. Selagi ada manusia, selagi itu ada penyakit. Selagi ada penyakit, selagi itu ada ubat. Selagi ada perubatan, seagi itulah akan wujudnya dan berkembangnya fiqh perubatan. Tak semestinya dalam perubatan saja, semua perkara yang kita lakukan akhirnya pasti akan kembali juga pada Islam. Tak gitu? Renung - renungkan. =D





**Walaupun tadi turun salji dengan rintik - rintik, semangat juga mereka pergi fiqh perubatan. Bagus!
**Terima kasih pihak penganjur. Terima kasih banyak - banyak.
**Esok ada pemilihan ping pong. Nak cuba nasib lah. Kalau baik, dapat juga ke Volgograd tahun ni! =D
**Thing - to do list:
1. Lipat baju - siap
2. Tukar cadar katil - siap
3. Basuh baju - sedang
4. Makan - belum? huhu

Tuesday, March 17, 2009

Kata - kata

Assalamualaikum wbt.

Sekarang ini jam menunjukkan jam 1.02 pagi. Pembacaan aku jadi sangat slow. Mungkin kena stimulate dulu minda agaknya. Jadi aku bercadang untuk menulis sesuatu supaya otak aku aktif sedikit (seaktif sang hamster, Stuart bersukan di tengah malam, di dalam sangkarnya.). Haha.

Tapi aku tertaip panjang lebar lah pula. Kalau rasa mahu baca, semoga ia memberi manfaat.

Kali ini aku ingin sekali berkongsi kisah dengan kamu tentang KATA - KATA. Semua orang berkata - kata bukan? Selagi tidak ditarik nikmat suara, mereka akan berkata atau bercakap. Paling tidak, mengucapkan salam. Tapi tidak semua orang suka bercakap macam aku. Aku sangat suka bercakap. Terutama dengan orang yang rapat dengan aku. Huhu.

Tapi sesedap mana kita bercakap, kita selalu lupa. Kita selalu tidak sedar, yang kesukaan kita bercakap itu kadang kala mengguris hati orang lain. Atau dengan kata lainnya, kadang - kadang kita ini melaser orang seolah - olah mulut kita ini tiada insuransnya. Mungkin pada sesetengah orang, melaser itu adalah sifat dirinya. Dia tidak kisah apa yang orang lain rasa asalkan dirinya puas. Aku sendiri pun pernah mengalami keadaan sebegini. Dilaser sampai aku makan hati. Padahal bukan apa pun. Hati sakit itu memang terjadi. Tapi selalunya aku akan pujuk hati sendiri supaya tidak merasa sakit hati. Aku akan kawal minda aku dengan berkata : Oh, mereka ini bercakap tanpa berfikir panjang. Tak apalah.

Percakapan yang baik adalah percakapan yang lemah lembut, berinfomatif dan tidak menyakiti orang lain. Itu definisi aku tentang percakapan yang baik. Pada orang lain, aku tidak tahu. Kadang - kadang manusia ini selalu saja memandang kesalahan orang lain tanpa mengira kesalahan sendiri yang sebenarnya lebih besar. Dan tanpa usul periksa, main terjah saja. Main sembur saja. Tanpa ada angin ribut, main sedap mulut saja berkata - kata. Tapi kita selalu terlupa. Setiap perkataan yang keluar dari mulut kita ini sebenarnya menggambarkan peribadi kita bagaimana. Jika elok, maka eloklah peribadinya.

Pernahkah kita tengok seorang yang pemarah itu hanya simpan saja perasaan marahnya dalam hati? Tidak kan? Selalu kita tengok kalau dia itu pemarah, dia main sembur saja kemarahannya kepada sesiapa. Dengan mengeluarkan kata - kata yang menyakitkan hati, itu buatkan dia rasa puas. Tapi bagaimana pula dengan orang yang dimarah? Pasti tersimpan dendam dalam hatinya bukan? Manusia ini kalau sudah berdendam, susah jadinya. Lagi satu hal pula si pemarah itu ingin meminta maaf kepada orang yang dimarahkannya.

Ada satu cerita ini yang pada aku, aku nak bawa supaya kamu - kamu tidak melakukan ini. Si A ini suka bergurau. Dia memang suka bergurau dengan kawan - kawannya. Tapi si Z tidak suka. Walhal si A ini tidak pernah mengacau si Z walaupun dia pada hakikatnya suka bergurau. Entah kenapa tiba - tiba saja si Z ini mengeluarkan kata - kata yang tidak sedap didengar dan ditujukan kepada si A. Si Z : Ko ni kenapa? Takde kerja lain ke dok kacau orang? Pada pendapat kamu la kan, apa agaknya perasaan si A ini? Dia tidak mengganggu pun si Z ini tapi dia pula yang kena.

Pada aku, si Z tidak berapa patut la berkelakuan begini. Itu tindakan yang kurang matang. Tidak salah kalau si Z berkata elok - elok : A, ko janganlah buat macam ni. Tak elok bergurau berlebih - lebih ni. Kan ke sopan begitu?

Kita ini jadi manusia biarlah sentiasa bersederhana. Kalau cara kita hidup pun boleh bersederhana, kenapa cara kita bercakap tidak boleh disederhanakan? Hari ini aku ada terbaca satu ayat Al - Quran yang membuatkan aku terasa ingin menulis entri ini. Surah An - Nisa ayat 148 yang bermaksud : Allah tidak menyukai perkataan buruk (yang diucapkan) secara terus terang kecuali orang yang dizalimi. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Dalam konteks ayat ini, maksud orang yang dizalimi itu adalah orang yang dianiaya. Contohnya ketika di dalam mahkamah, dia bercakap keburukan orang yang menzaliminya. Itu maksudnya. Bukan bercakap perkataan buruk setiap masa seperti kita ini setiap masa dizalimi.

Percakapan yang berhemah adalah percakapan yang matang. Percakapan yang matang lahir dari pemikiran yang matang dan sihat. Dan pemikiran yang sihat itu asalnya dari hati yang bersih, yang dididik dengan sifat sabar yang tinggi. Semua perkara yang bagus itu asalnya pasti dari didikan Islam. Jika tiada kesilapan dalam beragama, pasti kehidupan kita gembira saja.

Kalau orang yang tak dikenali datang pada kita, cakap macam - macam tentang kita tanpa dia kenal kita bagaimana, itu macam mana pula? Hurmm.. Pada aku, selagi mana dia tidak melampaui batas yang sepatutnya dia sendiri tahu, aku akan layan dia sebaik dan sewaras mungkin. Selagi dia tidak membangkitkan kemarahan kita, kita jangan marah pada dia. Mungkin ketika itu hormon level dia kurang seimbang. Hehe.. Tak kisahlah apa pun dia mahu katakan tentang kita, dia kata kita nak tunjuk baik lah, dia kata kita macam - macam lah, tapi kita sebenarnya boleh menanganinya dengan fikiran yang waras. Jika dengan berdiam diri lebih mendatangkan kesan yang lebih efektif, maka kita diamlah (maksudnya kalau kita bertikam lidah sekalipun tapi tidak mendatangkan apa - apa tanda perdamaian).

Mungkin ada yang kurang setuju. Ala Wanie, buat apa nak tolerate dengan orang - orang macam ini? Orang dah buat kita macam - macam, takkan kita nak diamkan aje? Hurmm.. Pada aku, ini mungkin satu kelemahan diri aku yang aku sendiri tak boleh nak buang. Mungkin sebab itu aku perlukan seorang untuk tolong lawan balik kalau ada orang datang kacau aku kot? Huhu..

Hati kamu, kamu sendiri jaga. Kalau mahu hati bersih, sentallah dengan apa - apa pun.

Lagi satu, jika ingin mendidik hati, jangan ego untuk mengucapkan maaf dan jangan segan untuk sentiasa berterima kasih. Dua perkara ini boleh membawa kita menjadi hamba yang bersederhana. Bukan susah pun untuk ucapkan Aku Minta Maaf atau Sorry. Bukan payah untuk cakap Terima Kasih atau Thanks. Bukan susah. Cuba buat perlahan - lahan. Nanti lama - lama akan terbiasa. =)

**Bersabar itu sebahagian dari Iman.
**Kata - kata yang terpuji itu lebih sedap daripada makanan yang kamu sediakan. Kalau kamu boleh sediakan makanan yang sedap untuk diri kamu, kenapa kamu tidak boleh mengeluarkan kata - kata yang elok dan terpuji untuk menjaga hati?
**Jangan terjah aku. Aku ada perisai yang kuat untuk menepis kata - kata walaupun setajam mana kata - kata itu boleh mengguris aku. Jangan main - main na! =D
**Kata - kata itu lebih tajam dari mata pisau. Tambah - tambah kalau mata pisau itu tumpul. Kalaulah kata - kata itu boleh buat potong bawang, mesti tiap - tiap hari senang je nak masak. Tak payah guna pisau! Bercakap saja tanpa henti.

Sunday, March 15, 2009

Dek kerana Tidur TERbanyak.

Assalamualaikum wbt.

Semalam ingat mahu tulis sesuatu di sini. Alih - alih tertidur sambil membiarkan blog ini terbuka. Si pemalas Wanie ini sudah menampakkan taring. Walaupun minum kopi malam tadi, sedap betul dia tidur tanpa menunjukkan tanda - tanda untuk stay up.

Hari ini 15 Mac. Aku kena buat banyak benda yang dalam list. Lepas ini nak buat list. Hurmm.. Sebenarnya list itu sudah ada dalam kepala. Cuma nak kena tulis supaya tak lupa. Disebabkan semalam aku jadi sangat pemalas, hari ini aku kena rajin sangat - sangat!

Thing - to - do list :

- Pagi ini usrah. Tak sabarnya!
- Buat case report Obstetrics.
- Selesaikan zadacha Obs.
- Topic for revision (Obs) : Hemorrhage, ectopic pregnancy, molar pregnancy, etc.
- Topic for revision (Neuro) : Headache and back pain. (I have to read them in Russian! Haih, ni kena kawan baik dengan dictionary nih!)
- Bersedia untuk menerima tetamu dari Yugo Zapadnaya hari ini! Yes. Mahu buat apa ek? Any idea?

Sebelum terlupa. Dalam kesibukan aku hari ini, aku mahu mengucapkan Selamat Hari Tua untuk Shafnah Adnan merangkap adik aku yang paling degil (masa dulu - dulu la) yang sekarang berada di Adelaide, sedang sibuk dengan semester baru. Semoga kau sentiasa berjaya dunia dan akhirat.

**Meja sangat bersepah. Bulan ini, buku sangat banyak untuk dibaca. Bertimbun - timbun! Haha.. Gelak sajalah.
**Disebabkan aku banyak sangat tidur, malam tadi aku mimpi aku pergi mandi laut sambil bergambar - gambar. Nak tahu aku pergi dengan siapa? Haha.. RAHSIA! Tapi mana nak dapat laut kat tengah - tengah Moscow ni? Hurmm...
**Semalam KS kata aku tidur sambil memegang nota Neuro. Tegak je nota tu. Tak bergerak pun. Aku dengar pun terkejut. Kekeke..

Friday, March 13, 2009

Adik SPM 08

Assalamualaikum wbt.

Semalam (12 Mac 2009) telah keluar keputusan peperiksaan SPM bagi tahun 2008. Adik aku pun salah seorang pengambil SPM 08. Pada mulanya aku terlupa langsung tentang ini. Pagi itu aku keluar seawal 7.30 pagi untuk ke kelas Obstetrics yang mengambil masa sejam lebih sikit untuk sampai. Kelas bermula pukul 9 pagi. Jadi aku tak mahu lambat ke kelas.

Kami bergerak bertiga. Aku dan teman rapat aku. Mereka yang mengingatkan tentang keputusan SPM itu. Lalu, dengan berbekalkan credit telefon yang masih ada, aku menelefon Emak. Tapi kata Emak, Atha (adik aku) tak balik lagi. Dia ke sekolahnya dengan kawan - kawannya. Jadi, tak mengapalah. Aku minta mereka hantar sms saja.

Semasa di kelas Obs, cikgu pula masuk lambat. Jadi aku ambil peluang untuk menelefon Emak sekali lagi. Dan apa jawab Emak? Abah tak tahu nak taip sms. Jadi lambat sikit lah nak bagitahu Wanie. Tahu - tahu Wanie dah telefon. Jadi Emak pun bagitahulah keputusan Atha. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah, dia lulus. Walaupun tak sebagus mereka yang straight A's tapi sekurang - kurangnya dia lulus.

Aku dengar suara Emak sedikit berubah semasa memberitahu keputusan Atha. Tapi apa aku kata, "Emak, sekurang - kurangnya Atha ada juga A nya. Bukan senang tau nak dapatkan A untuk peperiksaan macam ni." Ye la, pada aku, memang sangat susah untuk dapatkan A. Belajar separuh nyawa pun, belum tentu A itu dalam tangan. Rezeki kita Allah yang tentukan. Dia lah sebaik - baik Perancang untuk masa depan kita.

Kata Atha, dia mahu mengambil Accountancy atau Economy. Mengikut jejak langkah Abah dan Elin (kakak aku) nampaknya. Kalau tak dapat, dia mahu ambil Seni Bina. Baguslah. At least dia masih ada rasa ingin belajar. Susah juga kalau nak suruh anak lelaki rajin belajar. Dulu masa nak SPM pun, berbuih mulut Emak suruh dia belajar. Tapi alhamdulillah, sekarang ini dia masih nampak kesungguhannya.

Lepas ini Emak dan Abah sudah lega lah sebab semua anak - anaknya sudah lepas sekolah menengah. Tahniah Emak dan Abah! Wanie bangga jadi anak ke - 7 daripada 10 adik beradik yang berjaya Emak dan Abah didik. Kami adik - beradik sangat - sangat bertuah!

Tahniah untuk semua calon SPM '08 yang telahpun dapat keputusan. Apa saja pun keputusannya, andai baik atau kurang baik, jangan putus harapan untuk belajar. Tuntutlah ilmu selagi terdaya. Talabal ilmi minal mahdi ilal lahdi. Naikkan status kita sebagai Muslim yang berpendidikan tinggi dan yang terjaga maruahnya. Tak kisahlah apa orang nak kata, tak mengapalah kalau kita terpaksa belajar semula dari kosong, biarlah lambat sedikit kita belajar dari orang lain. Asalkan kelak kita tidak dipandang serong oleh bangsa lain. Belajar untuk diri dan agama. Belajar untuk ilmu. Belajar untuk masa depan.

Aku seorang yang skema. Aku tak kisah apa orang lain nak kata tentang taktik pembelajaran aku. Aku tahu tahap kemampuan aku yang tak sehebat orang lain. Kalau perlu kurangkan tidur untuk mencapai level yang sama dengan mereka, itu juga akan aku buat. Tapi agak susah la..


**Antara subjek yang Atha dapat A adalah Bahasa Melayu dan Syariah. Ada lagi la yang lain. Tapi dua subjek ini membuatkan aku terfikir : Bolehlah Atha jadi ustaz yang hebat berbahasa Melayu! Haha..
**Di kelas Obs, kami banyak berkongsi cerita tentang kehidupan. Aku juga suka berkongsi cerita. Dan aku mahu sentiasa kongsi cerita aku dengan orang yang aku paling susah nak marah. ('.~)V

Thursday, March 12, 2009

My Spring Color

Assalamualaikum wbt.

Finally, I have chosen these colors for my Spring. It suits Spring right? Hurm. Ok, no more dull colors. I want my Spring being fresh.

**Aku tak pernah suka merah jambu. Tapi biarlah kali ini aku tukar selera sedikit. Hihi..
**Aku tukar background hanya 15 minit. Ini satu pencapaian yang baik. Walaupun aku ini buta IT. Hahaha..

Tuesday, March 10, 2009

Spring Is Coming

Assalamualaikum wbt.

Welcome back our beloved Spring! I really cannot wait for the tulips! They make me excited waiting for spring.

** Layout was changed but it really does not suit my taste. I will change it later. I wanna put more flowers and make it more like spring season! Huhu
**This spring makes me more happy afterall.

Monday, March 9, 2009

Salam Maulud

Assalamualaikum wbt.

Sempena Maulidurrasul yang jatuh pada hari ini, muslimat menyambutnya dengan sederhana saja tapi meriah. Dimulakan dengan merenteti sejarah kelahiran Rasulullah SAW pada 12 Rabiul Awwal Tahun Gajah, pengacara majlis pandai mengendalikan majlis. Begitu banyak keajaiban yang berlaku ketika kelahiran Baginda. Sebab Baginda terlalu istimewa dan Bagindalah KekasihNya.

Kemudian dihidangkan dengan nasyid tentang Rasulullah. Diikuti dengan tayangan video yang disediakan. Video itu berkisar tentang kehidupan Rasulullah dan susah payah Baginda mengerjakan urusan dakwah. Dan diikuti nasyid kedua dari juara sambutan Women's Day semalam. Soutul Alam. Hehe..

Selepas itu, tayangan video selawat Qasidah Burdah. Sebelum itu kami diperdengarkan sejarah wujudnya selawat ini. Selawat Qasidah Burdah ini diikuti oleh semua orang walaupun ada yang tidak berapa tahu iramanya, contohnya aku. Hehehe.. Iramanya sekarang kan sudah terdapat pelbagai jenis. Dan alunan selawat ini buat aku bergenang air mata. Terasa seperti kekurangan sesuatu untuk bergelar ummat Muhammad. Berbekalkan kalimah Laailahaillallah, terasa dekat benar dengan Baginda, walaupun masih belum betul - betul mengamalkan sunnah Baginda.

**Hari ini mood Maulud sangat seronok.
**Membaca hari ini tak masuk pun. Perut sakit benar. Silap makan agaknya. Akhirnya tertidur saja.

Thursday, March 5, 2009

Sempena Women's Day

Assalamualaikum wbt.

Ada hadiah untuk para wanita muslimah sempena Women's day? Kami di Moscow ini ada. Jangan tak tahu, hadiah paling seronok orang nak bagi pada kita. Hehe.. Ini sebenarnya dengan rela hati tolong mempromosikan Program Muslimah Hari Ini sempena sambutan Women's Day Ahad ini.

Ada aktiviti menarik yang menjadi tarikan program ini. Kalau nak tengok betapa aktifnya muslimah sekarang, Woman Amazing Race (W.A.R) menyediakan aktiviti yang menguji tahap stamina muslimah kita hari ini. Di samping itu, ia berkaitan dengan soalan tentang Tokoh Wanita Islam, bukankah ianya sangat ilmiah? Dan yang menariknya aktiviti ini, ianya menguji sejauh mana pengetahuan kita tentang pusat membeli - belah di Moscow ini! Ha, kata selalu shopping, mestilah tahu mana kedai - kedai yang famous! Di samping itu, aktiviti ini juga mahu melihat, selama mana sudah kita tinggal di Moscow ini dengan bertanya info tentang Stesen Metro di sini.

Kalau mahu melihat muslimah tampil sopan dan anggun di runway, Busana Muslimah mengajak para muslimah hadir memeriahkan majlis. Sekarang ini, bukan saja tudung Wardina, tudung Ekin pun orang boleh gayakan asalkan kena pada tema dan syariat. Itu kan lebih anggun! Sekarang ini, wanita muslimah boleh gayakan apa saja selagi ianya lengkap menutup litup segala bahagian yang mesti ditutup.

Dan Battle Of Nasyid Groups membawa anda untuk mendengar bait - bait nasyid yang indah, dialun khas untuk anda. Apa salahnya kita tukar selera sebentar dari irama rock dan R&B kepada nasyid yang lembut alunannya. Lagipun, jarang bukan kita mendengar nasyid live di Moscow ini. Hanya istimewa di MHI!

**Tapi, upps! Untuk muslimah saja. Kata Women's Day. Hehe. Maaflah, Hari Lelaki sudah terlepas. Mahu bernasyid, buat kat bilik sendirilah ye. Menyanyilah mana - mana lagu nasyid. =D

Jaga Telinga

Assalamualaikum wbt.

Sejak akhir - akhir ini, aku dapati aku selalu menulis tentang medikal di sini. Entahlah, mungkin ini saja yang aku mampu terfikir dalam kotak pemikiran aku. Lagipun, cerita kehidupan aku di sini sama saja setiap hari pun. Bangun pagi, tunaikan kewajipan, pergi kelas, belajar, balik kelas, makan belajar lagi, tidur. Setiap hari cycle ini berterusan.

Aku baru sahaja habis cycle 1. Dan cycle ini diakhiri dengan satu paper Ear, Nose and Throat. Segala macam penyakit yang berkaitrapat dengan 3 bahagian kecil dalam badan kita ini harus diketahui. Daripada sekecil selesema sehingga sebesar tumor.

Apa yang aku tertarik adalah, belajar tentang telinga. Hurmm.. Setengah dari kita kadang kala mengalami kemasukan air ke dalam telinga semasa mandi bukan? Kes ini terjadi juga pada aku. Dan apa yang aku lihat, rata - rata dari kita mengambil langkah mudah ini untuk mengeluarkan air dari telinga. In termasuk memasukkan hujung tuala ke dalam telinga dengan harapan air itu akan diserap. Tak pun, munggunakan putik kapas.

Tapi sebenarnya, ini adalah salah. Ia boleh menyebabkan gegendang telinga kita mengalami jangkitan. Paling tidak pun, kita akan mengalami gangguan pendengaran. Bukan semua air itu bersih. Tambah - tambah kalau telinga kita ini bukan sepenuhnya clean and clear. Hehehe.. Lagi akan menyebabkan gegendang telinga kita disekat dari menerima bunyi dari luar.

Sebab itu, kalau kita lihat perenang professional, mereka menggunakan topi penutup kepala yang ketat supaya telinga mereka terhindar dari benda - benda begini. Ada pula yang memakai penyumbat telinga untuk tujuan ini.

Hurmm.. Kalau budak kecil lebih bahaya. Kadang - kadang telinga mereka ini dikorekkan telinga menggunakan putik kapas. Berhati - hati. Kenapa? Kerana telinga mereka belum lagi sempurna pertumbuhannya. Apa - apa jangkitan atau kesalahan kecil boleh menyebabkan impak yang besar dalam kehidupan mereka kelak. Walaupun ianya hanya telinga! =)

** New cycle : Neurology, Obstetrics and Dermatology.
**Sharing is caring.
** The best way to make people understand is keep silence.

Sunday, March 1, 2009

Menangis dan air mata

Assalamualaikum wbt.

Sekadar berkongsi. Tapi panjang.

Menangis itu satu terapi kehidupan. Menipulah kalau seseorang itu kata dia tak pernah menangis. Menangis itu satu cara kita mengeksperikan perasaan kita. Macam budak kecil, dia menangis untuk memberi tanda yang dia lapar ke, dahaga ke. Sebab dia tak mampu untuk memberitahu yang dia lapar.

Dari segi biologinya, air mata kita ini mempunyai fungsinya yang sangat - sangat penting. Pertama, perlindungan kepada mata (protective mechanism) untuk melembapkan mata di samping menepis habuk atau sebarang bendasing dari masuk ke dalam mata. Macam mana ia bertindak? Hurm. Setiap dari mata kita ini, kita ada sejenis lapisan yang dipanggil tear film. Lapisan ini mempunyai beberapa layers yang mengandungi bahan tertentu. Dan ia juga memerlukan oksigen untuk menjalankan aktiviti melembap dan melindung. Bagi pengguna kanta lekap (contact lense), lens itu akan menutup jalan kemasukan oksigen ke dalam mata. Sebab itu, mereka yang menggunakan kanta lekap, kerap mengalami pengeringan dan memerlukan ubat titik yang specifik (special eye drop) untuk melembapkan mata mereka.

Kedua, apabila mata kita diirritate oleh sebarang gas yang kuat atau bendasing yang masuk ke dalam mata. Paling selalu yang masuk ke dalam mata aku adalah bulu mata sendiri. Hehe. Sudah la bulu mata sedikit, selalu pula masuk ke dalam mata. Lama - lama habis nanti. Huhu.. Dan sebab ketiga adalah disebabkan stress. Inilah yang kita kenal sebagai menangis. Stress di sini bukan bermakna stress belajar ke apa ke. Tapi ini bermaksud emosional stress, sakit atau menderita. Kalau cakap pasal menderita ni, mesti kamu terus teringat pada perempuan bukan? Hehe..

Itulah sedikit sebanyak tentang air mata. Dan kalau kamu nak tahu, air mata kita mengandungi sejenis garam. Sebab itu, kalau sesiapa pernah rasa air mata sendiri, dia akan rasa masin. Hihi..

Hurm.. Sesetengah orang kata, air mata ini adalah sejenis senjata bagi perempuan. Benarkah? Aku pun tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Tapi apa yang aku lihat, perempuan biasanya mengeksperikan apa yang mereka rasa dengan menitiskan air mata. Untuk orang lelaki, aku tidak pasti pula.

Aku ini dulu jenisnya memang suka menangis. Sikit - sikit nak menangis. Masa duduk asrama dulu, homesick je, menangis. Rindu kat Emak Abah dan keluarga, menangis. Kena brainwash, menangis. Memang selalu la menangis. Orang jawa kata ciwek. Walaupun aku suka menangis, tapi aku paling tak boleh dan tak suka menangis depan lelaki. Tak kisahlah lelaki itu siapa pun, termasuk Abah atau adik lelaki aku.

Selain daripada masa aku kecil, aku jarang menangis depan Abah. Tapi ada sekali aku menangis, masa itu, bila aku tak berpeluang untuk menyambung pelajaran ke Jordan. Dan waktu itu, aku menangis di meja makan. Haha.. Terasa kelakar pula bila teringat balik. Sungguh tak matang betul. Dan kali kedua aku menangis depan umum semasa kelas Anatomi. Bagi ahli kumpulan aku, mereka tahu kenapa aku menangis waktu itu. Itu kali kedua aku menangis depan lelaki. Dan sampai sekarang aku malu bila aku teringat insiden itu. Huhu.

Kenapa aku kata aku tak suka menangis depan lelaki? Pada aku, itu menunjukkan aku lemah. Aku tak mahu nampak begitu. Mungkin pada sesetengah orang, itu bukanlah satu masalah. Pada aku pun, ia bukan satu masalah, cuma aku saja yang rasa begitu. Ye la, aku ini kan complicated. Bukan semua boleh tahan pun dengan aku. Bagi yang tahan, tahniah la. =)

Aku mulakan dengan : menangis ini satu terapi. Kenapa? Ia satu terapi untuk hati kita. Dengan menangis, kita menilai kembali tahap iman kita. Kita buat koreksi diri. Sejauh mana kita berusaha untuk menjadi hamba yang merendah diri kepada Tuhannya. Kalau kita boleh menjadikan airmata kita untuk memujuk dan meminta maaf kepada orang yang sedang marah pada kita, tapi kenapa kita tak boleh pujuk Pencipta kita dengan menangis menyesali diri tatkala kita berbuat salah?

Apabila kita bersendirian dengan Pencipta terutama pada hening malam, tambah lagi dengan menangisi dosa lalu, kita seolah - olah diberi satu nafas baru dalam diri. Kita akan rasa lega, dan bersedia untuk memperbaiki diri. InsyaAllah berkesan. Cubalah.

**Tapi jangan menangisi dan menyesali takdir.
**Kalau ada orang menangis, mesti kita bagi tisu kan? Selain dia lap air mata yang keluar dari mata, dia lap juga air yang keluar dari hidung. Haha.. Ada hubungkait nya. Carilah. :D
**Selawat Syifa juga satu terapi.
**Minggu depan, aku dan rakan - rakan ada final. Subjek Ear, Nose and Throat (ENT). Doakan kami berjaya.