Pages

Showing posts with label patriotik. Show all posts
Showing posts with label patriotik. Show all posts

Thursday, August 28, 2008

Kisah 10 tahun dulu..

Assalamualaikum wbt.



10 tahun dulu, waktu ini aku bersama kawan – kawan sibuk berlatih koir di dewan sekolah. Ye la, untuk persembahan semasa majlis sambutan hari kemerdekaan peringkat sekolah. Dengan memiliki suara gaya Ning Baizura, aku ditempatkan di dalam kumpulan soprano. Mia rasanya diletak di dalam kumpulan bersuara base. Inilah persediaan kami menyambut merdeka. Waktu itu aku hanya berusia 11 tahun dan Mia 10. Oleh kerana dia lulus Penilaian Tahun Satu (PTS), dia telah lompat tahun menjadikan dia sekelas dengan aku sewaktu darjah lima. Ya, lima Cempaka! Guru kelas Pn Shahrom Shaari. Hanya bersaiz kecil, Cikgu Shahrom yang bersuara lantang, mengajar subjek Bahasa Melayu itu sentiasa perhatikan kami berdua. Tetapi dia tak meletak kami duduk bersebelahan. Dia letak Mia sebelah seorang budak perempuan yang cun juga, anak kawan Abah, namanya Nur Emily Idaini. Mukanya ala – ala mixed gitu. Tapi itu bukan isunya. Kita balik kepada cerita kumpulan koir tadi. Cikgu yang melatih dan mengetuai kumpulan koir itu namanya Cikgu Yadzni Majid. Orangnya tinggi. Bagi aku, mukanya ada gaya Vince juara Akademi Fantasia 1 tu. Beliau sangat tegas semasa melatih kami sehinggakan beliau akan menilai kami dengan nilai peratus setiap kali kami berlatih. Tapi beliau tak pernah bagi 100%. Bagi beliau, 100% hanya akan diberi jika persembahan kami sempurna tanpa kesilapan. Dan pada hari kemuncak persembahan kami, beliau akhirnya memberi 100% kepada persembahan itu. Kami menjerit! Haha



10 tahun dulu juga, pada PA system sekolah akan terpasang lagu – lagu berunsur patriotik nyanyian Allayarham Sudirman Hj Arshad. Warisan, Tanggal 31 Ogos, dan macam – macam lagi. Dulu aku hafal semua lagu tu. Sekarang ni semua ingat – ingat lupa saja. Yang aku paling ingat sekarang lagu tanggal 31 tu sebab aku hafal lagu tu sedari aku kecil lagi. Mana tak ingat. Ada juga dianjurkan pertandingan melukis, menulis esei, mewarna dan bermacam pertandingan lagi. Aku pernah menang johan pertandingan menulis esei yang membolehkan aku membaca esei yang aku tulis di hadapan puluhan tetamu termasuk Guru Besar, guru – guru, pelajar, ibu bapa dan tetamu lain. Buat aku sedikit bangga jadi anak Malaysia walaupun esei aku bukanlah sebagus mana. Ada juga yang bersajak, bersyair dan yang seumpama dengannya.



Dan 10 tahun dulu, setiap penjuru sekolah berkibarnya Jalur Gemilang bermacam – macam saiz, bermacam – macam jenis. Ada yang kertas, ada yang kain. Pada pagar sekolah, garaj kereta, pintu masuk, di koridor dan di mana sahaja. Tak cukup dengan itu, budak – budak sekolah juga disaran membeli bendera – bendera kecil yang berbatangkan lidi cucuk sate. Termasuk aku! Haha.



Tapi itu cerita 10 tahun dulu. Sekarang pada waktu ini, aku hanya menunggu masa untuk berlepas pulang menyambung pengajian. Kalaulah aku yang sekarang masih serupa dengan aku pada 10 tahun dulu, alangkah gembiranya menyambut merdeka. Boleh bersajak, boleh berkoir dan boleh juga menyanyi lagu patriotik. Sekarang ni suara pun dah tak sedap, orang pun kurang mengibarkan bendera Malaysia. Tapi aku sebagai anak Islam warganegara Malaysia tetap membawa semangat Malaysia ke Bumi Soviet, cuba membanggakan Negara walaupun bukan seperti Lee Chong Wei menghadiahkan perak dalam Sukan Olimpik. Tapi bukankah salah satu cara mengharumkan nama Negara itu adalah dengan cara kita berpendidikan?



Aku mengucapkan SELAMAT HARI KEMERDEKAAN yang ke – 51 buat semua warga Negara Malaysia di mana jua anda berada. Junjunglah agama, hormatilah bangsa, sayangilah negara. Jaga pekerti, hiasi peribadi. Merdekakan diri anda dari semua segi. Anda mampu mengubahnya! =)



MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!



*Aku pelik kenapa masih ada yang tak menghargai kemerdekaan yang dah dicapai. Masih mahu duduk di takuk lama. Ada bendera, diubah - ubah. Ada lagu kebangsaan, ditukar - tukar. Semangat patriotik aku ni tinggi sikit. Pantang kalau jumpa orang yang tak hormat negara sendiri. Kalau bukan kita yang jaga negara, siapa lagi?


UPDATED: Khas buat Cikgu Jawe kita. Ni Cikgu Jawe dalam rusia. tak berapa cantik sangat tapi bolehla...