Pages

Friday, September 12, 2008

Apa yang sesuai untuk aku?

Assalamualaikum wbt.

Rabu lepas aku ada kelas Medical Genetics. Sepanjang kelas itu, cikgu aku menerangkan tentang congenital anomalies atau nama lainnya kecacatan kongenital yang berlaku sewaktu kelahiran. Ada di antara kecacatan itu berkaitan dengan mutasi gene pada kromosom seseorang selain daripada amalan semasa mengandung. Secara amnya begitulah. Dan cikgu ada juga menunjukkan beberapa keping gambar dan terma - terma klinikal yang berkaitan. Takut juga aku tengok gambar - gambar tu, rasa sayu pun ada juga. Kasihan jika kita lihat anak - anak kecil yang sedari lahir sudah ada kecacatan. Kalau disebabkan mutasi, memang tak boleh elak. Tapi yang geram kalau amalan seseorang bakal ibu itu semasa mengandung langsung tidak sihat. Contohnya merokok, pengambilan dadah dan alkohol. Kalaupun mahu membahayakan diri sendiri, setidak - tidaknya fikirlah akan bayi dalam kandungannya tu. Dan disebabkan perkara ini aku terfikir akan bidang pengkhususan (speciality in medical field) yang mungkin akan disambung setelah tamat Ijazah Kedoktoran dari Rusia ini. Semasa waktu rehat tu, aku mula berbual dengan deskmate aku yang selalu dengan aku, Afifah:

Aku : Pip, ko kan kalau nak jadi specialist, ko nak dalam bidang apa?
Pip : Aku nak amik Cardiology. Mungkin aku suka kot walaupun aku tahu field tu susah.
Aku : Ko rasa aku sesuai amik apa? Dalam medic ni aku minat 2 benda je. Gynaecology and blood. Tapi kalau amik bidang yang berkaitan dengan darah, banyak risk nya. Tapi boleh kerja kat Bank Darah.
Pip : Aku rasa ko sesuai jadi gynaecologist la. Sebab sifat ko. Aku pun tak tahu nak cakap macam mana tapi aku rasa ko sesuai amik O & G.
Aku: Ooo.. ye ke? Tapi seronok juga kalau amik gynae ni.

Aku teruskan pertanyaan aku pada semua groupmates aku dan ini jawapan mereka:

Dodod : Tak tahu la. Tahun klinikal ni la baru aku nak tengok bidang apa yang aku minat.
Ikha : Entah.
Fadzil : Bidang forensik kot sebab aku rasa aku tak boleh bedah orang hidup. Kalau dah mati tu ok sikit la. Dia pun tak rasa dah sakitnya.
Nadid : Semua pun boleh kecuali apa - apa yang berkaitan dengan khirurg ( english : surgery).
Yana : Neurosurgeon.
Anna : Semua ok kecuali O & G.
Hanif : Cardiology.
Fikri : Cardiology.

Dan aku dapati ramai juga yang berminat bidang jantung ni. Kalau aku, bidang jantung lah yang aku rasa pilihan bawah - bawah sikit dalam senarai bidang yang aku nak ambil. Bukan apa, aku rasa sedikit susah. Itu je.

Balik kelas sambung balik cerita pasal benda ni. Maklumlah, jalan kaki ramai - ramai, seronok sikit borak. Jalan jauh pun terasa dekat. Fikri cakap kat aku, "Wanie, hang jadilah psychiatrist. Hang kan boleh. Aku rasa hang boleh la." Pipah sambung, "Tak.. Aku tak rasa Wanie sesuai jadi psychiatrist. Nanti dia jadi tak terurus sebab dengar masalah patient dia. Dan dia akan fikir mendalam gile macam mana nak settlekan problem patient dia sampai akhirnya nanti dia yang akan pening." Giliran aku sambung, " Tak nak aku. Ko nak aku jadi psycho ke? Aku tak rasa aku boleh.. " Dan akhirnya topik itu tergantung macam tu saja..


Nota : Kamu rasa aku sesuai jadi apa? Any idea? Tapi aku pasti bukan bidang Anesthesiology (bius) sebab Kak Idah sudahpun bergelar anesthesiologist di Hospital Seremban.

Dictionary
Cardiology - bidang berkaitan jantung.
O & G - Obstetrics and Gynaecology.
Gynaecology - bidang berkaitan sakit puan
Obstetrics - bidang berkaitan dengan proses kelahiran bayi dan perkara yang berkait rapat dengannya.
Neurosurgeon - Pakar bedah yang berkaitan bidang sistem saraf.
Anesthesiology - bidang berkaitan bius dan seumpama dengannya.
Anesthesiologist - Pakar bius.

-----------------------------------------------------------------------------------


Sekali dengan ini, aku langsaikan hutang tag dari Judin.


bashrie.blogspot.com
fndy.blogspot.com
encree.blogspot.com
shootsyuhada.blogspot.com
aigoo-saranghae.blogspot.com
akutengahblur.blogspot.com
farhanwahab.com
hafizuddinawang.blogspot.com

Sejujurnya aku sangat malas hendak mengetag sesiapa sebab aku tahu masing - masing sangat sibuk di kala Ramadhan Al Mubarak ini. dan aku berkeputusan untuk bersikap jujur. Tapi jika sesiapa yang terbaca atau membaca entri ini dan terasa ingin membuatnya, silalah. Saya wakili semua bloggers mengucapkan Salam Ramadhan kepada semua umat Islam tidak kira di mana sahaja kamu berada. Dan jika hendak membuat tag ini, begini caranya:

1. Copy gambar di bawah lalu posting di blog anda.
2. Teruskan tags ini minimum ke 5 blogger muslim yang anda kenal.
3. Jangan lupa tinggalkan komen pada blog mereka
4. Tulis alamat blog anda (di bawah gambar) setelah alamat blog pemberi tags

Wednesday, September 10, 2008

Hujan - Sejuk

Assalamualaikum wbt.
Kalau minggu lepas, suasana hujan yang aku alami agak tidak seronok, tapi semalam hujan yang turun ala - ala suasana hindustan gitu. Pagi tu memang dah hujan dan sejuk menjadikan keadaan amat sedap untuk sambung tidur. Tapi kalau aku dah tidur, alamat tak pergi kelas la aku. Aku keluar dalam pukul 8.15 pagi. Ingatkan hujan sudah berhenti di saat aku nak bertolak ke kelas. Mana nak bawa payung. Rupanya tengah jalan lama kelamaan semakin lebat. Tapi alang - alang ku dah basah, jalan la perlahan - lahan, tidak berlari macam orang kena kejar anjing. Dalam pada aku berjalan pagi yang hujan tu, aku terlihat seorang ibu bersungguh melindungi anak kecilnya supaya tidak terkena hujan. Terlintas dalam fikiran, mungkin begitulah cara Emak lindungi kami adik beradik dulu. Sayu sebentar. Sayu sendiri. Maklumlah jalan seorang. Maka sayunya seorang jugalah.

Tapi alhamdulillah walaupun hujan sedikit lebat, baju aku tidaklah begitu basah. Setelah habis kelas, hujan semakin lebat dari sebelumnya. Aku berkeputusan untuk meredah saja hujan tu memandangkan kalau aku menunggu sehingga hujan berhenti, alamat aku tak boleh nak melaksanakan rancangan aku hari tu. Dalam masa 20 minit jalan ke Pejabat Dekan (salah satu dari rancangan aku hari tu), aku sudahpun basah kuyup, kalau tudung tu boleh diperah, memang airnya boleh ditakung. Jaket aku pun basah. Mujur aku pakai baju tebal sikit, tidaklah begitu sejuk, cuma kepala dan kasut saja yang basah.

Balik hostel, terus bersihkan diri sebab tak mahu demam. Nanti bila dah demam, susah. Ingatkan nak tunggu Zuhur masuk baru nak tidur, tapi mata sangat berat, jadi tertidur. Mujur terbangun sebelum waktu Asar menjengah. Tak lama lepas tu, roomates semua pulang.

Kesimpulan: Best main hujan!! Dah jadi macam Safwan anak Cikgu Jawe. Haha... Jangan marah ye cikgu. Tiba - tiba teringat entri Safwan main hujan.

Saturday, September 6, 2008

Ramadhan muncul, kelas pun mengikut.

Assalamualaikum wbt.

Bulan ini aku sibuk.
Entah apa yang disibukkan pun aku tak tahu.
Jadi aku hantar peneman yang sedang berkumandang di gegendang telinga kamu sebagai pengganti diri.
Jika aku mempunyai kesempatan waktu, aku sendiri yang akan penemankan kamu di sini.
Kamu faham bukan? Harap kamu faham.
Salam Ramadhan Kareem.



* Sejak masuk tahun klinikal, jadual makin padat. Bulan ini ada satu subjek yang aku kena ambil dan subjek itu sangat berat memandangkan medium pembelajarannya adalah dalam bahasa orang sini. Berjalan ke kelas 20 minit setiap hari, kena keluar awal memandangkan kelas bermula seawal 9 pagi. Pengalaman pertama mengajar aku menjadi morning walker yang setia di sepanjang Jalan Malaya Pirogovskaya menghala ke Jalan Rosalimo. Hari Isnin dan Rabu pula aku susuri Jalan Bolshaya Pirogovskaya. Hampir seminggu berpuasa di penghujung musim panas ni memberi banyak kebaikan dan menurunkan berat aku sebanyak lebih kurang 1.5 kilogram dari berat asal aku. Bagus juga, dalam pada waktu yang tak berapa nak cukup untuk bersenam secara teratur, boleh juga aku mengecilkan diri aku yang tak pernah nampak kecil ni. Hehe..

* Selamat Hari Lahir ke - 2 ( pada 6 September) buat Arfah (anak saudara aku) yang kini berada di Melbourne Australia. Ni acik Wanie datang wish. Hadiah kalau nak minta pada ayah dan mama ok! Peluk cium acik dari Moscow.

Wednesday, September 3, 2008

Sambung cerita..

Assalamualaikum wbt.
Selepas sehari, baru boleh menulis. Hari ini penat sedikit sebab baru nak mula pergi kelas. Mana taknya, semalam baru sampai Moscow, unpacked barang sampai pukul berapa entah, lepas tu pergi bersihkan diri yang dah sehari tak mandi. Sebelum tu pergi jumpa groupmates tanya belajar apa untuk hari yang aku tak datang supaya aku boleh catch up balik lessons yang aku missed. Lepas mandi tu aku belajar la sikit untuk persediaan kelas hari ni. Tidur pun pukul 2 lebih tapi bangun pukul 5 pagi. Lepas tu sampai la ni tak tidur. Tadi ambil buku di library. Dah la buku tebal - tebal, 4 buah pula tu. Jadi aku dengan member aku sorang ni sampai nak patah tulang bahu mengangkut ilmu.. Sampai dah tak larat nak jalan, kami ambil cab saja dari depan library.

Sebenarnya bagi yang dah tahu cerita yang aku nak cerita pada entri lepas tu, ni ha sekarang aku nak cerita kepada sesiapa yang belum tahu lagi. Rumah aku kena pukul ribut la.. Habis atap genting tercabut dan berterbangan tapi tak lah jauh sangat. Jatuh tepi rumah je. Bahagian bumbung di tengah rumah berlubang. Boleh nampak dari jalan. Masa tu pukul 3 lebih petang. Aku tengah potong tempe sebab Emak nak buat sambal goreng supaya kakak aku boleh bawa balik rumah sewa dia. Lepas tu tiba - tiba je hujan turun dengan lebatnya, datang sekali dengan angin yang extra kuat sampai mampu menumbangkan sebatang pokok mempelam yang sedang berbuah dengan banyaknya. Masa tu lepas hujan memang kitorang boleh petik mempelam tu tanpa menjolok guna galah.. Haha..

Tak lama pokok mempelam tu tumbang, kitorang adik beradik yang masa tu ada berempat je campur Emak yang ada kat bilik dengar bunyi genting jatuh. Aku jerit la kat adik aku suruh matikan main suis elektrik supaya tiada arus elektrik mengalir bila terkena air nanti. Segala macam lap kitorang alas tempat yang bocor, segala macam baldi campur besen kitorang tadah supaya tak banyak yang membanjiri dalam rumah. Alhamdulillah masih ada ruang di tengah rumah yang tak terkena air. Jadi di situlah tempat kami solat supaya diberhentikan hujan dan di situ juga aku letak beg aku yang nak dibawa balik ke Moscow supaya tak basah.

Masa tu Abah di surau. Dia tengah tengok orang masak bubur lambuk sempena Ramadhan. Dah jadi pengerusi surau, kenalah pantau kerja anak buah kan.. Kebetulan Abah memang tak boleh balik sebab hujan lebat sangat dan Abah naik motor. Memang air parit depan rumah naik sampai banjir teruk. Selalunya tak banjir teruk pun. Tapi itulah yang terjadi.

Aku dengan kakak aku sibuk mengeluarkan air dari dalam rumah. Aku di bahagian bawah (ruang tamu), kakak aku di bahagian atas (bilik tidur atas kami adik beradik perempuan), dua orang adik lelaki aku di bahagian beranda rumah. Emak pula keluarkan air dari bilik tidurnya. Memang penat. Takut pun ada juga. Ye la, mana pernah mengalami kejadian seumpama tu seumur hidup aku. Tapi kena buat cool sebab kalau kelam kabut, apa pun tak boleh nak difikirkan dan dibuat.

Kejadian ni berlaku pada hari Isnin (1 September) yang mana malam tu sepatutnya aku kena bertolak ke KLIA bagi penerbangan ke Moscow pukul 2 pagi (2 September). Dalam pukul 7.15 malam kot baru selesai keluarkan air dari dalam rumah. Hendak masak untuk berbuka pun tak sempat. Hanya pesan pada kakak aku seorang lagi (Elin) untuk bawa makanan untuk berbuka. Kebetulan dia memang hendak balik rumah Klang dan terus stay untuk hantar aku ke KLIA.
Jadi oleh kerana kejadian ini berlaku, aku tak sempat hendak memaklumkan yang aku nak bertolak balik Moscow kepada kakak - kakak aku yang tak sempat nak balik jenguk aku. Kepada Watie dan Nana, maaf aku tak sempat bagitahu korang aku balik. Dan kepada Mia dan Kak Mija & family, bila baca entri ni, jangan risau sangat. Diorang yang kat rumah ok je semuanya. Sekarang tinggal nak cari orang betulkan rumah je.

Aku bersyukur kepada Allah SWT kerana:
* diturunkan hujan bukan pada waktu malam yang mana kitorang tengah tidur. Bila waktu siang, sempat juga kitorang buat apa yang patut.
* tiang elektrik depan rumah tak tumbang yang mana boleh membahayakan kami jika arus elektrik mengalir sekali dengan air banjir. Dan kalau ia tumbang, boleh sampai menghempap bahagian depan rumah kami.
* ada 2 orang adik lelaki aku kat rumah yang jadikan kitorang perempuan ni sedikit berani. Baru time ni aku nampak yang diorang ni sebenarnya boleh diharap.

Apa pun, Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah.

Atas flight ke Dubai, aku tidur saja..

Nota : Gambar ada dalam handset, tapi tak ada USB nak masukkan gambar dalam laptop. Maaf ya..

Tuesday, September 2, 2008

Dari Dubai

Assalamualaikum wbt.

Syukur alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat yang diberikan kepada hambaNya di kala kesusahan..

Alhamdulillah, aku selamat berlepas dari Kuala Lumpur ke Moscow dan kini aku tengah duduk termenung di Dubai International Airport sambil menanti panggilan untuk ke pintu bagi penerbangan ke Moscow. Sekarang ni tengah berseorangan la ni. Tak ada siapa yang sudi temankan.. Cewah!!

Setelah apa yang terjadi, aku tetap memanjatkan kesyukuran yang tak terhingga kepada Allah SWT. Mahu tahu ke apa yang dah terjadi? Nampaknya aku tak boleh cerita sekarang. Tengah mamai baru lepas bangun tidur. Mana taknya, sepanjang perjalanan aku tidur saja.. Sampaikan makanan pun aku tak ambil. Nasib baik dia bagi lagi satu makanan untuk bersahur, kalau tak, pengsan pula aku. Semasa di KLIA pun aku masuk awal sebab aku nak bagi keluarga aku rehat. Kesian diorang, sudahlah flight aku lambat, kalau nak suruh mereka tunggu, tak sedap hati pula. Mereka hantar ke airport pun sudah cukup bagus.

Apa pun, terima kasih dan syukur Alhamdulillah yang tak terhingga hanya untuk Allah SWT. Semoga Ramadhan kali ini menjadikan kita hamba yang tinggi nilai sabarnya.